
Pernah dengar ayat ini?
“Anak adalah anugerah terindah, amanah tidak ternilai dari Tuhan. Di tangan kitalah masa depan mereka dibentuk”
Jika kita mahu melihat masa depan negara yang gemilang, lihatlah pada cara kita mendidik anak-anak hari ini. Membentuk peribadi anak bukanlah hanya satu pilihan tetapi satu kewajipan yang perlu digalas oleh setiap ibu bapa.
Berikut adalah beberapa cara yang boleh dikongsikan untuk membentuk peribadi anak.

1. Didik dengan kasih sayang tetapi tegas
Siapa yang tak sayang anak kan? Sebagai ibu bapa, kita harus faham bahawa mendidik anak memerlukan keseimbangan antara kelembutan dan ketegasan. Kasih sayang memberikan anak rasa selamat dan dihargai manakala ketegasan pula membentuk disiplin dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka. Dua-duanya penting kan?
Tegas bukanlah bermaksud garang atau kasar tetapi kita perlu menetapkan peraturan/ had untuk memastikan anak-anak faham perkara yang betul dan salah.
2. Tunjukkan contoh yang baik
Dari kecil, anak akan belajar melalui pemerhatian mereka. Baik dari segi lisan, mahupun tingkah laku orang dewasa, anak-anak adalah peniru yang sangat hebat!
Apa sahaja perbuatan ibu bapa mestilah selari dengan nasihat yang diberikan. Jika kita mahu anak rajin solat, ibu bapa juga perlu menunjukkan kesungguhan dalam menunaikan solat.
Jadikan amalan harian sebagai medan pendidikan! Biasakan mereka dengan penggunaan bahasa yang baik terutamanya ungkapan ‘terima kasih’, ‘minta maaf’, ‘tolong’ dan sebagainya.
3. Luangkan masa berkualiti
Cuba kita fikir, berapa banyak masa yang diluangkan oleh ibu bapa kepada anak-anaknya? Adakah mencukupi?
Kita perlu tahu bahawa masa bersama anak amat penting untuk membina hubungan rapat dan menyemai rasa percaya. Gunakan masa terluang sebaiknya untuk berbual, bermain dan mendengar luahan anak-anak. Adalah lebih baik jika ibu bapa dapat melibatkan anak-anak dalam tugasan harian di rumah sesuai dengan umur masing-masing. Ini dapat mendidik mereka supaya lebih bertanggungjawab dan menghargai masa yang terluang dengan melakukan aktiviti di rumah bersama-sama.
4. Didik dengan agama dan bersabar
Terapkan anak-anak dengan agama sejak kecil lagi supaya mereka faham perkara wajib yang menjadi tanggungjawab mereka seperti solat. Biasakan mereka dengan cerita teladan dari Al-Quran atau hadis.
Setiap anak mungkin mempunyai ujian yang berbeza untuk mendidik mereka kan? Didiklah mereka dengan sabar. Jika ada kesalahan yang mereka lakukan, elakkan marah melampau. Gunakan pendekatan mendidik dengan kasih sayang dan bukan menghukum semata-mata.
Seperti pohon yang perlu disiram dan dijaga, begitu jugalah peribadi anak yang perlu diasuh dengan penuh kasih sayang, bimbingan dan teladan yang baik.
Tiada apa yang lebih membanggakan ibu bapa selain melihat anak-anaknya menjadi insan yang berakhlak mulia, dan mampu memberi manfaat kepada agama, keluarga, masyarakat dan negara!
Ditulis oleh Raimy Syarafina binti Rohim
Terokai lagi
Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva
1. Log Masuk Canva: Buka laman...
Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak
Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...
Kereta Idaman
Credit to: Cikgu Sidi
Dengan...