Vertical Line Image
Bantu Anak Atasi Gayat
oleh MindLoops, 10 Oct 2025

blog image

Pernah tak anda bawa anak naik ke tempat tinggi? Contohnya naik tangga, jambatan gantung atau gelongsor taman permainan. Tiba-tiba sahaja anak anda terus kaku, takut nak bergerak atau terus menangis. Mungkin itu tandanya anak anda mengalami gayat atau fobia pada ketinggian.  

 Sebagai ibu bapa, mesti anda rasa risau jika anak mula menangis atau enggan mencuba aktiviti yang melibatkan ketinggian sedangkan aktiviti itu sangat penting untuk membina keyakinan diri mereka. 

 Jangan risau, ada cara lembut dan berkesan untuk membantu anak perlahan-lahan mengatasi rasa gayat ini. Mari cuba dahulu. Mana tahu, berhasil! 

1. Mulakan dengan ketinggian yang rendah

Sebagai permulaan, biasakan anak anda bermain di tempat yang tidak terlalu tinggi, seperti berdiri di atas bangku atau tangga rendah. Jangan terus bawa anak naik tempat tinggi yang mencabar. Bina dan dapatkan keyakinan diri mereka dahulu secara perlahan-lahan. Ini dapat mengelakkan anak anda dari rasa terkejut atau trauma. Bila mereka rasa selesa, baru perlahan-lahan naik ke tahap yang lebih tinggi. 

2. Sentiasa beri sokongan emosi

Kebanyakan anak-anak lebih berani bila tahu ibu bapa mereka berada di sisi terutama ketika mereka berada dalam keadaan yang tidak menyenangkan. Untuk mengatasi rasa gayat mereka, ibu bapa perlu memberi sokongan dari pelbagai aspek. Pegang tangan mereka atau berdiri berhampiran sambil memberi kata-kata semangat: 

 “Mama ada kat sini, awak boleh cuba” 

 “Tak apa kalau takut, cuba perlahan-lahan je. Abah akan pegang tangan awak!” 

 Sokongan ini membuatkan anak anda berasa selamat dan tidak keseorangan menghadapi ketakutan. Lama-kelamaan, sudah pasti anak anda mula membiasakan diri dengan ketinggian walaupun rendah asalkan ia menunjukkan peningkatan.  

3. Jangan paksa, beri masa

Memaksa anak yang gayat boleh menyebabkan mereka semakin takut dan enggan mencuba lagi pada masa depan. Perkara utama ibu bapa perlu lakukan adalah tenangkan anak anda terlebih dahulu. Ibu bapa pun kena sabar dalam menenangkan anak-anak. Ketika rasa takut datang, anak akan cenderung bernafas laju dan panik. Ajarkan mereka teknik mudah seperti tarik nafas dalam-dalam dan hembus perlahan. Buat sama-sama dengan mereka. Berikan mereka ruang untuk bergerak mengikut keselesaan sendiri. Kadang-kadang anak perlukan beberapa kali percubaan sebelum benar-benar yakin. Sabar adalah kunci utama.  

4. Gunakan permainan sebagai latihan

Menjadikan permainan sebagai latihan adalah cara terbaik untuk mengalihkan fokus daripada rasa takut atau gayat. Apabila bermain, fokus anak hanya tertumpu pada keseronokan bermain. Biarkan mereka bermain dengan gelongsor rendah, buaian, atau jambatan kecil di taman permainan. Ia merupakan satu latihan menghilangkan gayat tanpa mereka sedari. Bila mereka bermain, otak akan mengaitkan ketinggian dengan keseronokan, bukannya ancaman. Ini dapat membantu menghilangkan trauma mereka sedikit demi sedikit. Bayangkan, anak yang dulu takut nak naik gelongsor akhirnya menjerit gembira bila sampai bawah. Itu satu kemenangan besar kan! 

5. Beri pujian walaupun hanya pencapaian kecil

Sebagai ibu bapa, sudah pasti bangga dengan peningkatan anak yang semakin berani dengan ketinggian walaupun mereka menunjukkan peningkatan yang kecil. Setiap langkah anak ke arah keberanian patut diraikan. Kalau sebelum ini dia hanya berani naik satu anak tangga, dan hari ini dah naik tiga tangga pula, itu pun kemajuan besar bagi mereka! Berikan pujian dan tunjukkan rasa bangga anda kepada mereka. 

Gunakan pujian yang spesifik: 

 “Pandainya awak, dah berani lagi tinggi hari ni.” 

 “Mama bangga dengan awak sebab cuba walaupun takut.” 

 Pujian sebegini membuat anak rasa dihargai, sekaligus menguatkan semangat mereka untuk mencuba lagi. 

Kesimpulannya, mengatasi rasa gayat pada anak bukanlah sesuatu yang boleh berlaku dalam sehari. Ada yang berminggu, berbulan atau bertahun. Ia memerlukan kesabaran, latihan, dan dorongan berterusan daripada ibu bapa. Ingat, jangan sesekali jadikan rasa takut mereka sebagai bahan gurauan kerana ia boleh menjatuhkan keyakinan mereka. Elakkan dari memperkecilkan kemampuan mereka. 

 Sebaliknya, sokong mereka dengan penuh kasih sayang. Bila anak berjaya menakluki rasa gayat walaupun sedikit, itu bukan sahaja membuat mereka lebih berani dengan ketinggian, malah membina keyakinan diri yang akan membantu mereka dalam banyak aspek kehidupan. 

 

Ditulis oleh Raimy Syarafina binti Rohim


Kategori Berkaitan

Artikel Berkaitan
Kemahiran Keibubapaan
Atasi Konflik Dengan Anak Tanpa Emosi
Kemahiran Keibubapaan
Teknik Komunikasi dengan Anak
Kemahiran Keibubapaan
Bagaimana Menjadi Pendengar yang Aktif?
Kemahiran Keibubapaan
Impak Positif Mainan Fizikal Terhadap Perkembangan Kanak-Kanak

Terokai lagi

Teknik Belajar

Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva

1. Log Masuk Canva: Buka laman...

Tutor

Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak

Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...

Teknologi

Kereta Idaman

Credit to: Cikgu Sidi

 

Dengan...