Bayangkan…bila kita bangun pagi, ada seekor makhluk comel menunggu di tepi katil. Menggoyangkan ekor atau mengiau manja macam nak cakap “Selamat pagi kawan!”.
Mesti seronok kalau ada haiwan peliharaan sendiri! Selain jadi teman bermain, haiwan peliharaan ini juga boleh buat kita rasa gembira, bermanja, belajar bertanggungjawab dan hilang rasa sunyi.
Jika anda terfikir nak ada haiwan peliharaan, agaknya apa haiwan yang menjadi pilihan anda? Jom kita lihat beberapa contoh haiwan comel yang boleh dijadikan kawan baik anda dan sesuai untuk anak-anak.

1. Kucing
Kucing memang juara dalam bab manja dan kecomelannya! Aksinya yang pandai menarik perhatian pasti membuatkan ramai yang jatuh hati. Tak perlu bawa berjalan jauh pun, cukup kita sediakan makanan, air dan tempat tinggal, kucing pasti akan menjadi peneman dan sebahagian daripada ahli keluarga anda.

2. Anjing Kecil
Anjing kecil seperti Shih Tzu, Pomeranian atau Beagle biasanya sangat manja, comel, aktif dan suka bermain. Haiwan jenis ini pandai menunjukkan kasih sayang, setia dan boleh jadi kawan baik bila kita rasa sedih. Tapi ada perkara yang perlu diambil perhatian. Haiwan peliharaan jenis ini perlu rajin dimandikan, diberi makan dan dibawa berjalan-jalan. Semua anjing kecil ini sesuai dijadikan haiwan peliharaan untuk anak-anak jika keluarga mempunyai masa, ruang dan kesanggupan menjaga dan memenuhi keperluan hariannya.

3. Ikan Hiasan
Ada banyak ikan hiasan yang mudah kita nak jaga. Ikan adalah pilihan yang bijak untuk dijadikan haiwan peliharaan anak anda. Cuma sebagai ibu bapa, kita perlu pastikan kebersihan akuarium dan ajar anak-anak untuk memberi ikan makan secukupnya. Jangan berlebihan. Ikan hiasan seperti ikan Guppy, ikan Molly, ikan Emas atau ikan Platy. Kebanyakan ikan ni mempunyai warna yang cantik dan menarik. Tengok ikan berenang pun dah boleh buat hati kita rasa tenang kan?

4. Arnab
Arnab boleh menjadi haiwan peliharaan yang sesuai untuk anak-anak tetapi ada beberapa perkara penting yang ibu bapa perlu tahu supaya anak-anak dapat belajar bagaimana menjaga arnab dengan baik.
Sifat arnab yang comel dan lembut membuatkan ramai yang sayangkan haiwan ini. Haiwan ini tidak mengganggu dari segi bunyi namun sangat suka bermanja jika sering dibelai. Walaupun duduk dalam sangkar, arnab juga perlukan masa bermain dan berlari di luar setiap hari.

5. Hamster
Jika rumah anda tidak mempunyai ruang yang besar, haiwan peliharaan seperti hamster sangat sesuai untuk dijadikan pilihan. Hamster tinggal di dalam sangkar yang sederhana dan tidak memerlukan ruang yang besar. Boleh juga letakkan roda mainan untuk hamster bermain di dalam sangkar. Anak-anak akan seronok melihat hamster yang setiasa bergerak aktif dan menghiburkan. Berlari, memanjat atau menyimpan makanan dalam pipi, semua adalah aksi yang sangat comel dari hamster. Walaupun mudah dijaga, ibu bapa juga perlu menjaga kebersihan tempat tinggal hamster supaya tidak berbau. Bersihkan sangkar secara berkala untuk mengelakkan bau yang kurang menyenangkan.
Kesimpulannya, memilih haiwan peliharaan untuk anak bukan sekadar pilih yang comel. Kita juga perlu mengambil kira soal kesesuaian, penjagaan dan kemampuan keluarga. Apapun pilihan ibu bapa, jangan lupa untuk pantau dan pastikan anak-anak faham bahawa haiwan adalah makhluk hidup yang perlukan kasih sayang, makanan dan tempat tinggal yang bersih. Anak-anak akan dilatih untuk lebih bertanggungjawab bukan sekadar memberi kasih sayang dan bermain dengan haiwan peliharaan sahaja.
Ditulis oleh Raimy Syarafina binti Rohim
Terokai lagi
Panduan Membina Jadual Waktu Kendiri Menarik Menggunakan Canva
1. Log Masuk Canva: Buka laman...
Pupuk Rasa Ingin Tahu dan Motivasi Kanak-Kanak
Sebagai ibu bapa, kita memainkan peranan yang a...
Kereta Idaman
Credit to: Cikgu Sidi
Dengan...